Friday, 27 April 2012

Suami yang kubenci - E-man Sufi (Buku Prima)

Selalu kita disogok dengan kisah cinta seorang gadis biasa dengan lelaki yang berharta serta mempunyai kedudukan. Novel ini menongkah arus.

Gadis yang mempunyai segalanya kecuali kedua ibubapa yang terkorban dalam kemalangan. Dengan harta serta rupa terpaksa berkahwin dengan lelaki yang dulu dibenci dan dimusuhi dek kerana peristiwa yang tidak disangka.

Walaupun tiada harta, sikap luhur yang pernah ditunjukkan mengikat dia dengan gadis yang angkuh. Namun tiada siapa dapat menjangka insan yang dibenci, gadis yang sombong dan angkuh bertukar menjadi seorang yang berlainan dek penangan cinta yang wujud setelah berkahwin.

Ibu mertua yang sporting, cakap lepas membuat novel ini begitu menarik dibaca berulang kali. Ada kelucuan membuat rumahtangga mereka begitu unik.....

Cinta Kontrak - Nurul Ain Syuhada (Karya Seni)

Siapa kata gadis bertudung labuh tidak akan peroleh cinta yang unik. Novel ini mengisahkan kehidupan mereka yang turut merasa cinta dan dicintai. Perjalanan kehidupan yang sama seperti mereka diluar sana yang bisa jatuh cinta dek pandang pertama.

Walaupun bertudung labuh, sikap serta tingkah lakunya yang bersahaja mampu membuat insan sekeliling tidak memandang dirinya sebelah mata.

Dia juga mahu dicintai dan ingin dicintai tanpa membelakangkan tuntutan agama hingga sanggup menunaikan permintaan insan lain yang sanggup berkongsi kasih bersamanya. Baginya hak seorang suami tetap diutamakan. Sanggup berkorban hati dan perasaan bagi memenuhi kemahuan suami tercinta...

Thursday, 5 April 2012

Menggamit Syurga Firdaus - Kamsiah Abu (Tintarona publications)

Bermula dengan kisah cinta zaman persekolahan berlanjutan hingga ke Universiti. Cinta pertama yang menghampiri kesuatu ikatan yang lebih suci berakhir dengan perpisahan dua insan ke alam yang berlainan. Natasha begitu menyimpan kisah cinta pertama di dalam hati walaupun insan yang dikasihi telah pergi selamanya.

Jodoh yang pilih buatnya oleh orang tua terpaksa diterima tanpa bantahan. Namun dia tidak mampu memberi cinta yang sepatutnya buat insan bergelar suami disebabkan kenangan cinta lama. Namun kesabaran, cinta yang mendalam buat si isteri yang ditunjukkan Firdaus @ Michael Tan begitu menyentuh hati. Apabila cinta mula berputik dihati Natasha, sikap cemburu tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran hampir meranapkan ikatan perkahwinan mereka. Penceritaan yang tidak terlalu berat dan juga tidak membosankan.

Koleksi terbaru novel
Tak disangka, baru dua hari lepas pertama kali order online kat Karya seni. Setiba dirumah, buku yang dipesan dahpun sampai. Bertambah lagi koleksi novel di dalam tangan. Harap dapatlah dibaca secepat mungkin & memberi sedikit ulasan setelah habis dibaca.

1) Kau ditakdirkan untukku - Gee Muszisya (Karya Seni)
2) Terlanjur mencintaimu - Syamnuriezmil (Karya Seni)
3) Bila hati kata sayang - Marissa (Karya Seni)

Wednesday, 4 April 2012

Sememangnya kehidupan adalah satu cerita. Kisah benar tentan diri dan kehidupan. Bagaimana penceritaan bergantung pada apa yang diingini. Mungkin cerita kehidupan yang sedih, gembira, suka, duka. Ada yang dibukukan namun ada juga menjadi catatan dalam ingatan semata. Kisah yang dibukukan bagi dibaca dan menjadi teladan dan panduan. Mungkin ada jalan cerita dan kisah yang kebetulan bersamaan dengan kisah kehidupan insan lain. Adakah kebetulan mahupun secara kebetulan....